Wednesday, July 30, 2008

Perkauman?




















Apa itu perkauman?
Oleh: Persona Non Grata

Prejudis kaum/bangsa akan membuahkan perlakuan diskriminasi. Potensi dan kebolehan manusia dikelas-kelaskan mengikut/berdasarkan warna kulit, bahasa, majoriti penduduk, adat resam dan juga berdasarkan kepada makanan yang dimakan (?). Perpecahan dan prejudis perkauman ini hanya menimbulkan kebencian dan perasaan tinggi diri berbanding dengan lainnya. Yang akhirnya hanya akan mengakibatkan persengketaan sesama sendiri. Sesungguhnya manusia itu satu, walau apa pun warna kulitnya baik hitam, putih, kuning, coklat, biru, merah, kelabu, ungu etc… ia tetap dinamakan manusia. Apa jantinanya baik lelaki mahupun wanita etc… tetap manusia. Begitu juga dengan bahasa, adat resam juga makanan yang dimakan. Walau apa pun fizikal luaran, batin mahupun aktiviti dan kelakuan yang dipertontonkan, mereka tetap manusia. Berhak melata dan menyedut udara yang sama di muka bumi ini. Darah tetap merah, sistem saraf yang sama, struktur susunan badan yang sama, punya hati dan perasaan.

Jadi tiada guna benci-membenci kerana secara halusnya mereka tidak sedar bahawa mereka telah menghancurkan evolusi/perkembangan manusia (serta dirinya) sendiri.

Sikap masyarakat yang menganggap potensi/hak bergantung kepada jenis bangsa/kaum mengakibatkan kebencian dan diskriminasi. Tanggapan sebegini memang biasa berlaku di atas sikap mementingkan budaya dan adat resam (juga diri sendiri!) yang dijunjung semenjak dari nenek moyang mereka. Perasaan kesucian menjunjung budaya dan adat resam mengakibatkan perasaan tinggi diri dan membenci budaya dan adat resam yang lain. Perasaan sebegini mengakibatkan cinta/sayang yang melampau sehingga menganggap adalah satu perkara yang salah besar bagi mereka apabila melakukan perkara di luar adat/budaya tersebut.

Budaya wujud bermula daripada persetujuan umum sebagai cara hidup yang mendapat persetujuan dari semua pihak di dalam sesebuah masyarakat. Budaya menjadi adat resam apabila budaya ini dilakukan berulang kali di dalam setiap generasi. Sememangnya budaya dan adat resam ini diamalkan oleh sesuatu kaum yang hidup berkelompok di dalam sesebuah komuniti atau masyarakat. Perkara yang berlaku atau diamalkan di luar dari kelompok tersebut dianggap sebagai sesuatu yang asing, juga manusia yang di luar kelompok itu dianggap asing. Perkara dan mentaliti sebegini secara tidak langsung menyumbangkan kepada perihal perkauman (rasisme) itu tadi. Lebih malang lagi apabila mereka tidak dapat menerima sesuatu/manusia dari luar kelompok mereka.

Kelakuan membenci, menyisihkan dan meng‘alienisasi’kan sesuatu/manusia dari luar kelompok dianggap sebagai sesuatu yang betuldan suci supaya tidak mencemar adat dan budaya, malah menjadi sesuatu yang diterima oleh rasional sekitar adalah amat menyedihkan.

Apa yang boleh disimpulkan di sini ialah; bagaimana jika kebebasan mengamalkan kebencian dan diskriminasi sesuka hati terhadap bangsa/orang lain mendapat sokongan umum di dalam sesebuah kelompok kaum dan masyarakat? Apa pula yang terjadi apabila ini menjadi budaya dan adat resam sesuatu kaum dan masyarakat?

Sesungguhnya manusia tidak pernah cuba mengambil iktibar daripada sekitar yang jelas menunjukkan bahaya perkauman ini. Lihat sahaja perkara yang berlaku di Kosovo, Palestin, Ambon, Aceh, Timor Timur, Selatan Thailand, peristiwa penindasan ‘orang kulit hitam’ melalui sistem Apartheid oleh Parti Nasional/Kebangsaan di Afrika Selatan sekitar tahun 1948 hingga tahun 1990an, pertubuhan Klu Klux Klan (KKK) yang memegang tradisi menganggap kesucian penganut Kristian berkulit putih; agak meluas pengaruhnya di Amerika dan Australia, pemerintahan Parti Nazi pimpinan Adolf Hitler di Jerman sekitar tahun 1920-1945 yang melalui era perang dunia kedua (1939-1945), malah di Malaysia sendiri sekitar tahun 1969 (13 Mei 1969) atau perkara yang berlaku di Jalan Kelang Lama, sekitar Taman Desaria, Kampung Lindungan, Kampung Ghandi, Kampung Datuk Harun dan Taman Medan tidak lama dahulu bermula 4 hingga 15 Mac 2001.

Tidakkah mereka sedar akan bahaya duri dalam daging ini? Budaya seharusnya menjadi bahan perantaraan bagi penyatuan/perpaduan manusia bukan sebagai bahan perantaraan bagi tujuan perpecahan.

Budaya manusia untuk semua, bukan untuk pengkelasan manusia di dalam kepentingan warna kulit, bahasa dan cara hidup juga bukan berdasarkan majoriti penduduk.

No comments: